Menyambut dan meraikan tetamu adalah akhlak yang sangat dituntut. Bahkan Rasulullah sampai menggandingkannya dengan iman yang tulen kepada Allah dan hari kiamat di dalam sabda Baginda.

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka muliakanlah tetamu. (Riwayat al-Bukhari)

Tetamu juga menurut Baginda, mempunyai bahagian haknya ke atas kita. Pernah Baginda berpesan kepada Sayidina Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash,

“Wahai Abdullah, dikhabarkan yang engkau berpuasa setiap hari dan mendirikan qiam pada setiap malam?” Jawab Abdullah, “Iya wahai Rasulullah.”

Sabda Baginda lagi, “Usahlah berbuat demikian. Berpuasa, dan berbukalah. Dirikan qiam, dan tidurlah. Sesungguhnya bagi tubuhmu ada haknya ke atasmu, bagi matamu ada haknya, bagi isterimu ada haknya, bagi tetamumu ada haknya.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, alasan untuk memperbanyak amalan sunat sehingga tidak mahu menerima dan meraikan tetamu, bukanlah alasan yang munasabah menurut Rasulullah. Seorang Mukmin yang baik, adalah Mukmin yang seimbang di dalam hubungannya dengan Tuhannya, dan sesama makhluk Tuhannya.

Bahagian Tetamu

Di antara adab menyambut tetamu adalah menerimanya dengan sungguh-sungguh. Sabda Rasulullah,

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, muliakanlah bahagian tetamunya.”

Para sahabat bertanya, “Apa bahagian tetamu itu wahai Rasulullah?”

Jawab Baginda, “Sehari dan semalam. Bertamu itu adalah selama tiga hari. Selebihnya adalah sedekah kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Ulama menghuraikan, yang pada sehari semalam yang pertama, tuan rumah harus mengusahakan sebaik yang mungkin melayani tetamunya. Mungkin disediakan makanan yang istimewa, serta sepenuh perhatian diberikan. Manakala pada hari kedua dan ketiga, bolehlah tuan rumah kembali kepada kebiasannya. Contohnya, makanan yang dihidangkan adalah seperti makanan biasa yang dimakan tuan rumah. Tuan rumah juga sudah boleh mengagih perhatiannya kepada urusan hariannya dengan tetamunya.

Logiknya pun begitu. Katakanlah tetamunya datang dari kejauhan, letih dan masih tidak biasa dengan tempat baharu, maka perhatian penuh dan kemesraan layanan tuan rumah sangat membantunya menyesuaikan diri. Kemudian, masuk hari kedua dan ketiga, dia mungkin sudah selesa, tahu bahagian rumah yang patut dan tidak boleh dia pergi dan sebagainya, maka bolehlah dia menguruskan dirinya sendiri.

Hari ini, kita mungkin sudah jarang menerima kunjungan tetamu sampai berhari-hari lamanya. Mungkin dek pengangkutan yang semakin efisyen, lalu jarak perjalanan menjadi singkat. Justeru, pendek katanya, raikanlah tetamu sebaik-baiknya. Semoga kita mendapat ganjaran sebesar-besarnya daripada Allah.

Raikan Sendiri

Pernah sekali, Rasulullah dijemput ke sebuah majlis perkahwinan seorang sahabat Baginda. Yang menyambut dan meraikan Rasulullah bersama para sahabat yang lain, adalah sahabat Baginda yang berkahwin itu bersama isterinya sendiri! (Riwayat al-Bukhari, Adab al-Mufrad)

Pada hari yang sepatutnya pasangan pengantin yang dirai dan menjadi raja sehari, mereka pula yang ‘mencemar duli’ meladeni tetamu.

Hari ini, situasi begitu mungkin sukar. Namun, kelebihan melayani sendiri tetamu itu jangan dipersiakan. Ketika menziarahi seorang sahabat saya yang agak berada dan mempunyai pembantu rumah, mereka suami isterilah yang melayani saya dan keluarga sepenuhnya. Kelibat pembantu rumahnya langsung tidak kelihatan. Menyebabkan kita berasa sangat berbesar hati, serta senang dan selesa sekali dengan tuan rumah.

Allah Kagum Dengan Tuan Rumah

salam

Suatu hari, Rasulullah didatangi tetamu. Namun Baginda tidak dapat menyambutnya, kerana tidak mempunyai apa-apa di rumah Baginda melainkan air putih. Lalu seorang sahabat Baginda mengambil peluang untuk melayani tetamu Rasulullah tersebut.

Beliau segera membawa pulang tetamu tersebut ke rumah. Sesampai di rumah, isteri beliau memaklumkan yang mereka juga tak punya apa-apa melainkan makanan untuk anak-anak. Namun, pesan beliau kepada isterinya,

“Siapkanlah makanan, perbaiki lampu, dan tidurkanlah anak-anak kalau mereka mahu makan.”

Lalu malam itu, mereka melayani tetamu itu sebaik-baiknya. Malahan, ketika makan, sepasang suami isteri itu memperlihatkan kepada tetamu mereka seolah-olah yang mereka turut makan. Agar tetamunya berasa selesa dan tidak ralat dengan makanan yang kurang.

Esoknya, ketika bertemu Rasulullah, Baginda berkata kepada pasangan tuan rumah ini,

“Sesungguhnya Allah gembira dan kagum dengan perlakuan kalian berdua.” Lalu turunlah ayat kesembilan daripada surah al-Hasyr yang menceritakan sikap itsar orang Mukmin terhadap saudara-saudara mereka. (Riwayat al-Bukhari)

Mari kita cuba contohi kesungguhan pasangan ini, agar berpeluang meraih rasa reda dan gembira Allah kepada kita, insya-Allah.

*Tulisan saya mengenai ‘Adab Bertamu’ pula akan tersiar di dalam Majalah al-Ustaz isu 57, insya-Allah.

Advertisements