Tinggal 2 isu lagi, sebelum genap 10 isu saya bersama Majalah al-Ustaz, sebagai editor syariah.

Alhamdulillah, beruntungnya saya, hampir setiap isu kami akan mewawancara mana-mana satu tokoh/individu untuk diketengahkan kepada perhatian masyarakat menerusi majalah. Ketua kami, Ustaz Fauwaz Fadzil memang punya hubungan baik yang positif, memudahkan urusan wawancara. Peluang eksklusif menemubual tokoh-tokoh berkenaan, tentu tak mudah diperoleh, melainkan anda ada skil seperti beliau. Saya hanya menumpang manfaat dan berkat.

Daripada pegawai kerajaan, doktor perubatan, juruterbang sehinggalah ilmuwan besar, temubual memberi saya pengalaman lebih daripada sekadar menghadiri sesi-sesi pembentangan atau ucapan daripada mereka.

Mengenali secara dekat, berkongsi cerita peribadi, serta asli yang belum lagi disunting memberi kita pengalaman berharga, dan peluang mengutip butir-butir hikmah terus dan langsung daripada mereka.

Antara lain, ia mengajar saya seni berdiam dan bersabar. Selalu, momen-momen mereka menarik nafas panjang selepas satu-satu soalan, suasana jadi jeda seketika, dan selepas itulah ada cerita-cerita yang membuatkan saya tersenyum puas dan pulang dengan girang.

Benar kata Dick Gordon ini:

“After more than 36 years of talking on the radio, the best thing I can do is… not talk, but listen.”

– Dick Gordon, The Story, Goodbye

http://www.thestory.org/stories/2013-10/goodbye#.WBfu4JF45Yo.facebook

Advertisements