Rumah kediaman barangkali adalah perhatian besar ramai pihak, khasnya pasangan muda yang bakal atau baharu mendirikan rumah tangga. Atau bahkan, yang sudah lama mendirikan rumah tangga, mempunyai cahaya mata, namun masih tercari-cari rumah kediaman.

Mempunyai tempat berlindung, daripada panas dan hujan, ancaman bahaya, tempat kita bebas dan minimum penjagaan aurat, adalah fitrah manusia.

Rasulullah SAW bersabda,

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ: الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ.

“Di antara faktor kebahagiaan seseorang Muslim adalah kediamaan yang luas, tetangga yang soleh dan kenderaan yang selesa.”

(Riwayat al-Bukhari, Adab al-Mufrad)


Trivia

Perkataan al-Maskan (rumah kediaman) berkongsi akar kata dengan al-Sakinah (ketenangan).


Mengapa Tak Ketemu Bahagia

Namun, ironinya, ramai yang punya kediaman mewah dan agam, namun tidak ketemu bahagia. Rumahnya luas, namun hati tidak terasa puas. Tidak tenang dan tenteram.

Rumah Tangga Lelabah

Firman Allah,

“Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain daripada Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling rapuh ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”

(Surah al-‘Ankabut 29: 11)

Rapuh sarang lelabah, hingga dijadikan Allah sebagai misal bagi mereka yang berpaut kepada ‘kerapuhan’ pelindung selain Allah.

Namun benarkah sarang lelabah itu rapuh?

Dalam kategori serangga, sarang lelabah adalah antara yang terkuat sekali. Sehingga serangga ini diternak, untuk diambil suteranya, dipintal dan dijadikan fabrik atau material. Dikatakan yang ia sekukuh kevlar, material yang digunakan sebagai baju kalis peluru!

Barangkali, yang dimaksudkan Allah bukannya material binaan rumah lelabah, tetapi ‘rumah tangga’ lelabah yang rapuh itu. Lelabah adalah antara serangga yang dikaitkan dengan amalan kanibalisme, memakan satu sama lain. Spesies Black Widow misalnya, antara yang sering dikaitkan dengan amalan ini. Kekadang, lelabah betina akan memakan yang jantan selepas proses mengawan, ada juga jenis lelabah yang anak-anaknya akan memakan ibunya sebaik menetas.

l20hesperus20pair
Foto: Google

Ini satu perumpaan bagi sebuah rumah tangga yang rapuh. Meskipun materialnya kuat dan kukuh, bahagia rupanya datang daripada penghuni yang mendiaminya. Pada bagaimana mereka mengisi kehidupan di dalam rumah tersebut.

“Rumah dibina dengan kayu, batu, simen dan konkrit. Tetapi rumah tangga dibina dengan kasih sayang, cinta, kemesraan, rindu dan sifat-sifat mahmudah yang lain.”

(Solusi 87, Bersediakah Rumah Kita Menerima Rasulullah Sebagai Tetamu)

Iman,

Amal soleh (lawan kepada maksiat dan kemungkaran),

Serta bagaimana penghuninya ‘mengisi’ kediaman.

Inilah faktor yang mendatangkan kebahagiaan di dalam rumah. Tanpa mengira saiz rumah, besar atau kecil.

Barangkali doa Rasulullah SAW ini turut memuatkan harapan agar dilapangkan dada dan perasaan, di samping kelapangan secara fizikal dan material.

“اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي، وَوَسِّعْ لِي فِي دَارِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا رَزَقْتَنِي.”

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, lapangkan buatku rumahku, dan berkatilah daku pada setiap apa yang Engkau rezekikan kepadaku.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Advertisements