Keluarga kami punya sedikit pengalaman bersama jiran.

Sepulangnya daripada permusafiran, kami dapati rumah kami telah dipecah masuk. Syukur kepada Allah, tiada sebarang kehilangan besar, namun antaranya adalah sebuah laptop milik kerajaan. Menguruskannya tentu renyah sekali.

Namun, akhirnya ia berjaya ditemui semula, di tangan remaja yang mencurinya. Anak muda belasan tahun, yang masih di bangku sekolah menengah itu, merupakan anak jiran kami (rumah bersebelahan kami, yang kami sewakan).

Tak berapa lama kemudian, mereka berpindah rumah.

Walaupun kejadian tersebut kecil sahaja, dan selesai dengan baik, namun adik-adik saya yang kesemuanya perempuan itu sedikit sebanyak terkesan. Sejak itu, kami lebih teliti memilih penyewa yang menjadi jiran kami.

Memilih Jiran

الجار قبل الدار

“(Pilih) jiran, sebelum (memilih di mana mahu dibeli atau dibina) rumah.”

Begitu bunyinya pepatah Arab tersebut.

Pengalaman tersebut sedikit sebanyak mengajar kami kepentingan mempunyai jiran yang baik, soleh dan mententeramkan. Manakan tidak, jiran yang kita tidak merasa tenteram dengannya akan memberi efek kepada perasaan kita di dalam rumah. Patutlah Nabi SAW bersabda,

عن نافع بن عبد الحارث – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:

(مِنْ سَعَادَةِ المَرْءِ الْمُسْلِمِ المسكنُ الواسع والجارُ الصالح والمركبُ الهنيء)

“Di antara faktor kebahagiaan seseorang individu Muslim itu adalah; tempat tinggal yang luas, jiran tetangga yang soleh dan kenderaan yang bagus.”

Riwayat al-Bukhari, Adab al-Mufrad

Saya turut terbaca kajian-kajian yang menunjukkan hubung kait kawasan kejiranan dengan perkembangan anak-anak. Misalnya, kawasan kejiranan yang tidak selamat, akan mendorong ibu bapa ‘mengurung’ anak-anak di dalam rumah. Anak-anak seterusnya akan lebih cenderung menghabiskan masa sendirian, di hadapan televisyen ataupun permainan video. Akibatnya, skil komunikasi dan sosial mereka terjejas serba sedikit.

Itupun tentunya lebih baik, dibandingkan sekiranya anak-anak tadi turut terjebak dengan faktor penyumbang suasana tidak selamat kawasan kejiranan tadi, nauzubillah.

Menjadi Jiran Yang Baik

featured

Justeru penting amat, kita sendiri berusaha menjadi jiran yang baik kepada jiran kita. Perkataan jiran itu sendiri bermaksud ‘saling’. Anda tidak dapat menjadi jiran kepada seseorang melainkan dia menjadi jiran kepada anda juga, bukan?

Unit-unit jiran ini, berusaha mengelokkan kejiranan mereka, dengan sama-sama berakhlak dengan akhlak berjiran yang diajarkan Islam dan yang dituntut oleh common sense tanpa mengira ras, agama dan latar belakang.

Secara teorinya, begitulah caranya kita akan mendapat kebahagiaan ‘jiran yang soleh’ itu tadi.

Realiti Berjiran

Namun, realitinya tentu lebih sukar.

Hari ini, memiliki rumah yang baik dengan harga yang mampu dibiayai kita, sudah jauh daripada memadai. Bagi yang berpendapatan biasa-biasa dan sederhana seperti kita semua, hampir tiada peluang untuk kita memilih-milih jiran atau kawasan kejiranan.

Bagaimana pula dengan kita yang sudah berusaha menjadi jiran yang baik, namun jiran kita sangat tidak membantu?

Nah, ini semua kendala-kendala realiti yang harus dihadapi.

Saya kira, dek menyedari hakikat inilah, Imam al-Ghazali rhm. menyatakan di dalam Ihya’ Ulumuddin darihal hak dan tanggungjawab berjiran ini,

“Bukanlah hak berjiran tetangga itu adalah semata-mata dengan anda tidak menyakitinya. Bahkan anda bersabar dengan kerenahnya, berlemah lembut dengannya.”

Sikap baik kita mungkin tidak dibalas secara positif. Memilih siapa jiran kita pula, jauh sekali. Namun, yang kita boleh lakukan adalah make the best of the situations. Bersabar, teruskan sikap positif, dan memikirkan cara untuk menangani masalah secara hikmah.

Mengapa?

Iya, mengapa harus bersusah?

Pertama, tentunya kita tidak mahu membesarkan-besarkan masalah sedia ada dengan menjadi penyumbang kepadanya.

Jiran kita berperangai buruk = 1.

Kita berperangai buruk semula kepada dia = 1.

Sudah 2 jiran yang berperangai buruk. Apabila semua berfikir begitu, jadilah kawasan kejiranan itu, buruk. Semuanya tidak bahagia.

Kedua, banyak benar ancaman yang diberikan kepada mereka yang berbuat buruk atau jahat kepada jiran tetangga.

Rasulullah SAW ditanyakan perihal seorang wanita yang banyak ibadahnya, namun menyakiti jiran. Jawab Rasulullah,

“Dia di dalam neraka.”

(Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW juga bersabda,

“Demi Allah, dia tidak beriman. Demi Allah, dia tidak beriman. Demi Allah, dia tidak beriman.”

Para sahabat bertanya,

“Siapakah dia wahai Rasulullah?”

Jawab Baginda,

“Orang yang jirannya tidak aman daripada kejahatannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ketiga, jiran boleh jadi tiket kita ke syurga.

Rasulullah SAW ditanya berkenaan seorang wanita yang biasa sahaja ibadahnya, namun tidak menyakiti jirannya. Jawab Baginda,

“Dia di dalam syurga.”

(Riwayat Ahmad)

Insya-Allah, moga kita tergolong di dalam kategori jiran yang beroleh syurga. Jiran-jiran kita begitulah hendaknya. Moga-moga, berjiran di dunia, berjiran juga di syurga.

Advertisements