Sirah & Sejarah

Almarhum Dr. Sa’id Ramadan al-Buthi rhm. mengarang kitab sirah yang sangat bagus; Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah. Usai membentangkan kepada pembaca peristiwa-peristiwa sirah, beliau akan menganalisis dan menghuraikan kepada kita iktibar dan pengajaran yang boleh dikutip daripadanya.

Dan begitulah sirah-sejarah, untuk dikutip iktibar dan pengajaran.

Bak kata George Santayana:

“Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.”

“Orang yang tidak mengingati sejarah, akan mengulangnya kembali.”

Al-Qur’an sendiri banyak sekali mengandungi kisah-kisah sejarah. Baik ia kisah-kisah orang Mukmin, mahupun orang kafir. Baik Mukmin daripada kalangan para nabi, mahupun yang bukan nabi.

Kisah-kisah ini diperintahkan kepada kita untuk diceritakan kembali, agar kita dan pendengarnya berfikir lalu mengambil manfaat. Firman Allah:

“Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

(Surah Al-A’raf, 7: 176)

Menemuramah salah seorang tokoh yang tersenarai sebagai 500 orang Muslim paling berpengaruh di dunia, Dr. Tawfique Chowdury, beliau menitipkan sebuah pesan.

Kata beliau, semakin banyak perniagaan yang dibukanya, semakin giat usaha dan kerja dilakukannya, semakin dia yakin yang untuk berjaya anda tidak perlu ke MBA schools atau belajar daripada life coaches, sebaliknya cukup dengan al-Qur’an dan sirah Rasulullah SAW sebagai pedoman.

Tentulah nasihat beliau secara umum, namun yang penting mesejnya adalah agar al-Qur’an dan sirah Rasulullah dimanfaatkan sebaiknya, insya-Allah.

Permulaan Wahyu

Almarhum Syeikh al-Buthi memetik riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Aisyah r.ha. bercerita:

“Permulaan wahyu yang datang kepada Rasulullah adalah dengan mimpi yang benar di dalam tidur. Ianya pasti menjadi kenyataan dan sejelas cahaya subuh. Kemudian Baginda menjadi suka menyendiri. Lalu Baginda menyendiri untuk beribadah di Gua Hira’ beberapa malam lamanya sebelum pulang ke rumah mengambil bekal dan menyendiri kembali…”

Latar Masa

Era Jahiliyyah masyarakat Arab bukan ditandakan dengan kebodohan mereka daripada membaca dan mengira. Mungkin jadong (jahat + bodoh + sombong) yang diungkapkan oleh almarhum Syed Hussein al-Attas sesuai digunakan bagi memberi faham realiti era tersebut.

Hari ini, menyelak lembaran akhbar dan menonton berita sangat menyesakkan dada. Seolah-olah manusia hilang pedoman dengan bermacam-macam kes jenayah, masalah sosial dan sebagainya. Itu baru kita yang melihatnya dari ‘kejauhan’.

Bayangkan sesaknya dada Rasulullah yang hidup di era pembunuhan bayi, peperangan dan penumpahan darah berlaku sewenangnya, perjudian dan kezaliman. Sesaknya dada Rasulullah mendorong Baginda menyendiri.

Baginda memohon petunjuk daripada Tuhannya. Rasa terlalu berharap akan petunjuk tersebut dirakam Allah di dalam surah al-Duha, ayat 7:

“Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?”

Latar Tempat

Namun, menyendirinya Rasulullah bukan kerana ingin lari terus daripada umatnya.

Baginda berada di Gua Hira’ yang terletak 3 km dari kota Mekah, setinggi 270 m. Dari atas sana, anda dapat melihat terus ke Kaabah, sekiranya hari ini ia tidak dilindungi dengan kepesatan pembangunan di sekitarnya.

Dalam menyendirinya Baginda, masih kuat difikirkannya perihal umat.

Aisyah bercerita lagi:

Sampailah akhirnya datang wahyu ketika Baginda berada di Gua Hira’. Malaikat Jibril datang kepadanya lalu berkata, “Bacalah!”

Baginda menjawab, “Aku tidak boleh membaca.”

Baginda menceritakan yang ketika itu malaikat Jibril memegang dan memeluk beliau dengan sangat kuat kemudian melepaskannya lalu berkata lagi, “Bacalah!”

Baginda dipeluk kuat dan disuruh baca sebanyak tiga kali. Sebelum akhirnya Baginda bergegas pulang ke rumahnya, menemuni Khadijah r.ha. dan minta agar diselimutkan.

Pelajaran

Kata almarhum Dr. al-Buthi, beriman kepada peristiwa ini adalah kunci kepada segalanya.

Beriman bahawa Rasulullah didatangi malaikat pada malam tersebut, diangkat menjadi utusan Allah, adalah kunci kepada mengimani seluruhnya kata-kata Nabi, ajarannya, akhlaknya, adalah pedoman dan tauladan.

Banyak perincian-perincian di dalam peristiwa ini yang menggambarkan hikmah Ilahi. Antaranya:

  1. Rasulullah didatangi Jibril dalam rupa bentuknya, salah satu cara ia datang kepada Nabi menyampaikan wahyu. Mengapa tidak di dalam mimpi, atau datang dalam rupa seorang lelaki dan sebagainya? Kerana ini wahyu pertama, dan ia harus jadi sebuah momen yang sangat vivid, terang lagi nyata.
  2. Seterusnya Baginda dipeluk erat sebanyak tiga kali. Sangat fizikal, ia bukan mimpi yang boleh ditolak orang-orang yang skeptikal sebagai mainan tidur.
  3. Kemudian, ketakutan yang melanda Nabi, Baginda bergegas pula ke pangkuan isteri minat ditenteramkan. Saya terbayangkan jika saya ingin mendakwa menerima wahyu Ilahi hari ini, saya akan datang dengan cara yang paling meyakinkan orang, tersenyum girang kerana baru memperoleh khabar dari langit!
  4. Baginda sendiri merasa bimbang dirasuk jin sebelum ditenangkan oleh Khadijah, yang Allah takkan menghinakannya sebegitu rupa kerana Baginda seorang yang sangat berakhlak, baik budi pekerti.
  5. Baginda dibawa Khadijah menemui Waraqah bin Naufal, penulis Injil. Nah, jika anda sedang merencana sebuah ajaran rekaan baharu anda tentu tidak akan pergi menemui dan bertanya pendapat seorang ilmuwan bidang tersebut yang boleh jadi akan menolak dakwaan anda mentah-mentah, bukan?

Serta banyak lagi.

Pelajaran Iqra’

Allah dengan kebijaksanaan-Nya tentu tidak akan berbuat sesuatu sia-sia.

Di dalam begitu banyaknya suruhan, Allah memilih suruhan membaca sebagai wahyu yang pertama sekali turun kepada umat ini.

Apa rahsianya? Terang bak mentari. Bacalah. Baca, baca dan baca. Baik ia ayat-ayat Allah yang termaktub pada tulisan (ayatul maqru’ah), atau yang terpamer pada ciptaan-Nya (ayatul manzhurah). Insya-Allah.

 

Advertisements