“Bagaimana anda tahu apa yang anda mahu adalah apa yang anda mahu? Bagaimana anda tahu apa anda gemar adalah apa yang anda gemar?”

Kebebasan bagi sesetengah kita, bererti bebas berbuat apa sahaja. Rupa-rupanya, bebas berbuat apa sahaja sekehendak hati itu tak lebih daripada kebebasan yang superfisial kalau takpun artifisial.

Dalam zaman pelbagai rangsangan melampau daripada iklan, baik visual atau audio yang mengajak-ajak, merayu-rayu kepada sesuatu (produk, pilihan, tindakan dan sebagainya), bagaimana kita tahu apa yang kita mahu adalah benar-benar yang kita mahu?

Bebas adalah berdisiplin. Menguasai diri, nafsu, ego. Begitu simpul Prof. Tariq Ramadan.

Melihat jari-jemari seorang pemain piano yang lincah di papan kekuncinya, kita kagum dan berasakan yang ia bergerak sesuka hatinya tanpa sebarang kawalan dan aturan. Sedangkan bagi seorang pemula, dia harus belajar satu persatu, terikat dengan pelbagai aturan dan tatacara.

Rupa-rupanya sang pemain piano yang pakar tadi telah berjaya menguasai aturan dan tatacaranya. Sehinggakan dia kelihatan bebas, tak terikat. Seakan-akan jari-jemarinya bergerak sendiri menghasilkan melodi nan indah.

Justeru Syeikh Rasyid al-Ghanousyi berkata, konsep kebebasan dalam Islam adalah,

“… sebuah ketundukan yang peka terhadap undang-undang alam dan syarak. Ia bukanlah sebuah konsep yang mengharuskan semua perbuatan, ‘buatlah apa yang kamu suka’, itu merupakan kebebasan binatang.”

“Tetapi kebebasan yang dimaksudkan adalah, buatlah kewajipan yang diperintahkan Allah, lalu kamu akan menjadi bebas daripada kemahuan diri sendiri dan daripada penindasan sesama kamu.”

Rupa-rupanya, kebebasan bukan bererti lepas bebas semahunya. Ia bererti mengawal diri, menguasainya, menundukkan ego dan hawa nafsu. Jika tidak, bak kata Prof. Tariq Ramadan,

“… ego adalah jeriji penjara pertama dalam diri kita.”

Tuhan memberi hamba-Nya dua pilihan, berbuat kebaikan dengan mentaati perintah-Nya, atau berbuat kejahatan dengan menderhakai-Nya. Dengan itu, setiap seorang akan diganjarkan sesuai dengan pilihannya.

Firman-Nya, “Dan kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi.” (Surah al-Balad, 90: 10)

Nyata, Ramadan adalah bulan disiplin, bulan kebebasan!

Advertisements