Sebak.

Di sekolah, anak-anak murid ini dilatih untuk bersolat Zohor secara berjemaah. Guru-guru (Muallim dan Muallimah) bergilir-gilir bertugas memantau mereka.

Seratus lebih orang pelajar Tahap 1, bukan kerja senang untuk dikawal apabila mereka duduk beramai-ramai begitu. Ada berbagai-bagai ragam. Yang takbir menempik, yang sujud melepek, yang menyiku rakan ketika qiam (berdiri), yang sujud dengan ubun-ubun bukan dengan dahi. Ah, banyaklah kerenahnya.

Namun, memikirkan yang saya bakal berjauhan daripada semua ini, kerenah yang kekadang melelahkan itu buatkan saya tersenyum. Senyum dalam sebak.

Mereka semua kanak-kanak yang putih bersih jiwanya. Saya sering mengingatkan diri, bahawa mereka mulia dan sentiasa dimuliakan junjungan besar kita, Nabi SAW. Mereka ahli syurga, berbanding saya yang tak terpikul dosa ini.

Dalam tazkirah ringkas seusai Zohor semalam, saya mengingatkan diri dan anak-anak ini, agar belajar dan terus belajar. Bukan sehingga cemerlang di UPSR, atau di universiti, saya ujarkan bahawa belajar terhenti hanya dengan putusnya nyawa kita. Seperti contoh yang diperlihatkan kepada kita oleh para imam ummah ini, ilmuwan pewaris Nabi yang Rabbani.

اطلبوا العلم من المهد الى اللحد.

Tuntutlah ilmu, dari buaian hingga ke liang lahad.

Saya ingatkan sama, bahawa ilmu kita cuma bekal, bukan matlamat. Kita mahu menjadi soleh wa musleh, solehah wa muslehah. Saya tegur kerenah mereka bergurau semasa solat — maklumlah anak-anak — dan saya peringatkan diri dan mereka, bahawa kita harus menggunakan masa sebaiknya. Bahawa ia takkan kita beroleh semula, apabila ia terluput.

Moga Allah jadikan kami semua — anak-anak SRI Al-Amin serta semua Muallim dan Muallimah — sebagai soleh wa musleh, solehah wa muslehah. Insya-Allah!

Dungun / 2 Mac 2015

Advertisements