Saya harus mula menulis kembali. 

Ketika saya rancak menulis, paling kurang setiap sebulan ada satu penulisan.

Cemburu melihat perkembangan penulisan rakan-rakan yang kian baik, dek tak henti (berlatih) menulis.

Akaun dan blog WordPress ini adalah cubaan saya menulis kembali. Saya harus berusaha, demi memelihara kewarasan diri dalam kesibukan dan tekanan-tekanan harian. Paling kurang di sini, saya boleh membebel, dan seronoknya tiada siapa yang perlu saya susahkan untuk menadah telinga.

Dibaca orang, jika ada manfaat, maka baguslah. Jika tidak, saya sendiri masih ‘menerima’ manfaatnya kembali.

Minggu ini minggu pertama bertugas sebagai guru. Dalam debar, ada semacam rasa teruja menanti hari sekolah dibuka. Kata Dr. Adnan, pengkursus kami tempohari, guru-guru harus positif. Akan potensi besar yang ada pada diri anak-anak murid.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?’. Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya’.

— Al-Baqarah, 2: 30

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan);

Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

— As-Syams, 91: 7-10

Advertisements